Bernama.com
Am 07 Jun, 2008 16:48 PM
 
Ketua Hakim Negara Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran Sempena Keputeraan Agong



Yang Di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menganugerahkan Darjah Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun kepada Ketua Hakim Negara yang kini bergelar Tun Abdul Hamid Mohamad sempena Hari Keputeraan baginda di Balai Rong Seri Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto: Shahrizan Jeffri Aziz

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Ketua Hakim Negara Datuk Seri Abdul Hamid Mohamad mendahului senarai 37 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Negara, Sabtu.

Beliau menerima darjah Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun.

Turut menerima SSM ialah Penasihat Parti Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Seramai 17 orang pula menerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri, 15 orang menerima darjah Panglima Jasa Negara (PJN) dan dua orang menerima Panglima Setia Diraja (PSD), kedua-dua darjah itu membawa gelaran Datuk.

Mendahului senarai penerima PSM ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Amirsham A. Aziz, bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Sulaiman Mahbob;

Timbalan Setiausaha (Kabinet), Jabatan Perdana Menteri Datuk Mazidah Datuk Abdul Majid, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Dzulkifli Abdul Razak, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Abd Rahman Mamat, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Ismail Omar;

Tokoh akademik Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim, Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia Datuk Dr Muhammad Rais Abdul Karim, bekas Ketua Pengarah/Hakim Mahkamah Syarie Datuk Sheikh Ghazali Abd Rahman;

Bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Marsyal Muda Udara (B) Datuk Sulaiman Sujak, Pengerusi Barisan Nasional Kelantan Datuk Seri Annuar Musa, Pengerusi Penerbangan Malaysia Datuk Dr Munir Abdul Majid, Pegawai Eksekutif/ Pengarah Urusan Gadang Holdings Bhd Datuk Kok Onn, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Tomei Consolidated Bhd Datuk Ng Teck Fong dan Timbalan Pengerusi Eksekutif RAM Holdings Bhd Datuk Rajandram Chellapah.

Antara penerima PJN ialah Timbalan Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Ab. Khalil Ab. Hamid, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohtar Abas, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Thomas George M.S. George, Timbalan Panglima Tentera Udara Lt Jen Datuk Bashir Abu Bakar, Ketua MIC bahagian Permatang Pauh Subbaiyah Palaniappan dan Pengarah Urusan Kumpulan WSA Capital Corporation Sdn Bhd Dr Wan Mohamed Wan Embong.

Sementara itu, dua penerima PSD ialah Datuk Awang Kechik Abdul Rahman dan Timbalan Asisten Ketua Staf, Angkatan Tentera Malaysia Mejar Jen Datuk Abdul Aziz Ibrahim.

Seramai 1,862 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan pada hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berangkat ke Balairong Seri, Istana Negara diiringi tiupan Nafiri pada pukul 11.15 pagi.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta isteri Datin Seri Jeanne Abdullah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri Kabinet, para kenamaan serta duta-duta asing.

Sementara itu, Ketua Perwakilan Asing merangkap Duta Argentina di Malaysia Alfredo Raoul Morelli dalam ucapan sembah menghadap, mengucapkan tahniah serta berharap Malaysia akan terus maju, aman dan makmur di bawah naungan Seri Paduka berdua.

-- BERNAMA




Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels